Home Pendidikan Perspektif Ikim: Bengis, garang bukan cara berkesan didik anak

Perspektif Ikim: Bengis, garang bukan cara berkesan didik anak

Oleh Mastura Mohd Zain
Bapa sepatutnya kena wujud suasana mesra supaya remaja tidak takut luahkan segala permasalahan

KELUARGA adalah unit asas kepada masyarakat, negara dan umat manusia. Keluarga terbentuk menerusi institusi perkahwinan iaitu seharusnya wujud saling memahami dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Perkahwinan adalah proses mengatur kehidupan supaya anak yang lahir bakal menjadi generasi pelapis beriman dan kuat jati dirinya.

Di sinilah bapa memainkan peranan besar dalam kehidupan berumahtangga. Sudahkah golongan bapa memainkan peranan sebagai pemimpin keluarga dengan penuh kasih sayang? Keharmonian dalam perkahwinan mesti dipelopori dan diketuai insan bernama bapa. Bapa hari ini bukan hanya bertanggungjawab memberi makan, pakai dan rumah kediaman semata-mata kepada ahli keluarga. Bapa perlu melindungi dan memelihara keimanan ahli keluarga supaya tidak hanyut dalam arus kehidupan bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.
Dalam keluarga nilai pelindung perlu ada bagi suami. Peranan bapa bukan lagi sekadar menyara keluarga, lebih dari itu bapa berperanan penting melindungi isteri, memberi kebahagiaan kepada keluarga dan kedamaian rumahtangga. Peranan ini perlu diperkasa untuk membebaskan masyarakat daripada gejala tidak sihat dan maksiat. Jika seorang suami melihat isterinya sebagai sumber amanah, maka dia tahu dia akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak. Oleh itu, dia tidak akan sewenang-wenangnya mengkhianati amanah itu.

Suasana rumahtangga akan menjadi aman damai. Isteri akan sentiasa berasa tenang, tenteram, berpuas hati dan menumpukan sepenuh perhatian kepada rumahtangga dibinanya.
Natijahnya, anak akan membesar dengan kasih sayang, tunjuk ajar dan bakal menjadi cerdik dan cemerlang. Maka lahirlah generasi pelapis yang ceria dan bahagia dan adalah harta kepada keluarga dan negara.

Namun, perangkaan menunjukkan ramai anak Melayu beragama Islam terjebak dengan bermacam-macam kegiatan yang kurang sihat, antaranya merokok dan salah guna dadah. Malah, semakin ramai yang berada di pusat serenti.

Jumlah yang terbabit dalam jenayah juvana juga meningkat tidak termasuk yang terbabit dengan bencana Aids/HIV dan mat rempit baik di bandar mahupun di luar bandar. Semua ini bukan lagi harta, tetapi sebaliknya beban kepada keluarga dan negara. Negara akan kerugian berjuta-juta ringgit untuk mengatasi masalah ini.

Kajian ahli psikologi Barat mendapati corak pergaulan antara ibu bapa dan anak memainkan peranan penting dalam penentuan corak hidup mereka. Remaja menghadapi masalah juvana didapati mempunyai ibu bapa yang gagal dalam membentuk nilai murni serta tidak tetap dalam memberi tunjuk ajar dan terlalu garang ketika menghukum kesalahan anak.

Secara semula jadinya naluri seorang ibu itu penuh dengan kasih sayang, kelembutan dan kesantunan, menjadi rujukan serta mempunyai hubungan baik dengan anak. Namun, bapa akan sering dilihat sebagai kurang arif untuk bergaul serta kurang membabitkan diri dengan kegiatan anak.

Sepatutnya bapa mewujudkan suasana mesra dengan anak sejak kecil lagi, bertanya khabar dan perkembangan anak supaya ruang perhubungan sentiasa terbuka dan si anak tidak teragak-agak meluahkan segala permasalahannya. Sebaliknya jika bapa bersifat bengis dan kurang berhubung dengan anak, maka tidak hairanlah jika kita dapati si anak akan melakukan tingkah laku yang kurang menyenangkan untuk menarik perhatian ibu bapa. Tingkah laku itu akan berterusan hingga ke sekolah menyebabkan kerja sekolah terganggu dan mereka juga agak sukar menyesuaikan diri dengan rakan sekelas membuatkan mereka terus terasing.

Mengadakan kegiatan berkumpulan seperti berkhemah amat baik untuk mengeratkan pertalian dengan anak. Tidak salah mencium dan memeluk anak. Rasulullah SAW menunjukkan contoh yang jelas. Diriwayatkan Aisyah r.a: Pada suatu hari Rasulullah mencium Al-Hassan atau Al-Hussein bin Ali. Ketika itu Aqra bin Habis At-Tamimiy berada di rumah Baginda.

Berkata Aqra: “Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah melihat kepada Aqra kemudian berkata: ”Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.”(maksud hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebagai pemimpin dalam keluarga bapa harus berilmu dan berwibawa mendidik anaknya. Nilai agama harus diterapkan dalam rumahtangga kerana masalah remaja pada hari ini ialah masalah akhlaknya yang berpunca daripada nilai agama diabaikan.

Sebaliknya sajian dari media elektronik menjadi santapan utama remaja. Ini diburukkan lagi dengan kawalan minimum atau tiada kawalan langsung daripada ibu bapa. Pengawasan dalam hal ini penting kerana kebanyakan rancangan dari media menonjolkan akhlak kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menutup aurat serta cara hidup yang tidak berlandaskan agama.

Bapa yang prihatin akan sentiasa menjadikan pendidikan anak suatu keutamaan. Anak perlu didedahkan dengan contoh cemerlang seperti ulama dan orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia.

Bayangkan jika di rumah nilai agama menjadi pedoman. Anak didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama serta budaya memberi dan menjawab salam. Anak akan mengikut asuhan solat sebagai cara mengajar dirinya menghargai masa.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab bapa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, termasuk penghayatan agama, keibubapaan selari dengan peredaran zaman untuk memimpin keluarga mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kepada bapalah sebenarnya contoh terbaik bagi anak lelaki yang suatu ketika nanti bakal menjadi bapa.

Bapa dicontohi kerana keupayaannya sebagai suami dan pelindung ibu dan anak. Kegiatan seperti berkhemah, menonton perlawanan bola sepak di stadium dan solat berjemaah di masjid wajar dilakukan oleh bapa terutama bersama anak lelaki. Anak lelaki yang mendapat teladan baik daripada bapanya akan membesar menjadi lelaki berperibadi seimbang dan bakal pula menjadi suami yang baik. Anak daripada bapa yang amanah kemungkinan juga menjadi anak yang salih yang akan mendoakan kedua ibu bapanya ketika mereka tiada kelak.

INTI PATI
Tanggungjawab bapa

Bapa perlu melindungi dan memelihara keimanan ahli keluarga supaya tidak hanyut dalam arus kehidupan bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.

Bapa patut wujudkan suasana mesra dengan anak sejak kecil lagi, bertanya khabar dan perkembangan anak supaya ruang perhubungan sentiasa terbuka antara anak dengan bapa.

Bapa yang prihatin akan sentiasa menjadikan pendidikan anak suatu keutamaan. Anak perlu didedahkan dengan contoh cemerlang seperti ulama dan orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia.

Anak perlu didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama serta budaya memberi dan menjawab salam. Anak akan mengikut asuhan solat sebagai cara mengajar dirinya menghargai masa

Tanggungjawab bapa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, termasuk penghayatan agama, keibubapaan selari dengan peredaran zaman untuk memimpin keluarga mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Anak lelaki yang mendapat teladan baik daripada bapanya akan membesar menjadi lelaki berperibadi seimbang dan bakal menjadi suami yang baik serta mendoakan kedua ibu bapanya.

Sumber : Berita Harian, 14 Ogos 2007 

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Pusat Syariah Undang-undang dan Sains Politik, Ikim

 





MENU UTAMA

REHAL POLL
Apakah kreteria paling penting TASKA pilihan anda ?
 
Visitor
415724
Today169
Yesterday293