Home Pendidikan Remaja patut fahami perubahan diri sendiri

Remaja patut fahami perubahan diri sendiri

DUNIA remaja itu seronok jika diisi dengan perkara berfaedah. Tetapi, kesilapan kecil akibat kecuaian dan tidak berfikir sebelum bertindak, boleh mencalarkan keseluruhan kemanisan hidup ini.

Laporan Kesihatan Seksual dan Reproduktif Remaja 2003 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, menunjukkan peratusan remaja membabitkan diri dalam hubungan seks luar nikah adalah tinggi.

 Selain laporan yang dibuat berdasarkan hasil penelitian lebih 250 penyelidikan dan bahan bertulis itu juga mendapati remaja berisiko tinggi terbabit dalam seks tanpa perlindungan sewajarnya termasuk melanggan pelacur untuk mendapatkan pengalaman seksual kali pertama.

Ini bukan saja mengejutkan tetapi terlalu menyedihkan!

Justeru, Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Malaysia (Mamaneh 2000) dan Jabatan Pengurusan Kejururawatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menganjurkan Seminar Kesihatan Reproduksi Remaja di HUKM yang sudah pun masuk siri ke-3, baru-baru ini.

Pakar Ginekologi yang juga Naib Presiden Mamaneh, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj dalam kertas kerja bertajuk Rahsia Alam Remaja menyatakan, kebanyakan remaja amat tertarik membincang atau mengetahui hal seksualiti serta fungsi tubuh badan mereka.

Bagaimanapun, katanya, mereka perlu mendapatkan maklumat mengenai perkara itu daripada sumber yang betul.

Beliau berkata, secara dasarnya lelaki baligh pada usia 10 hingga 14 tahun sementara perempuan pada usia sembilan hingga 13 tahun.

Pada peringkat inilah, katanya, berlaku konflik dalaman kerana perubahan tubuh badan semakin berubah.

“Secara umumnya remaja akan menghadapi perubahan mendadak seperti tumbesaran, kulit berminyak atau berjerawat, perasaan berahi, mood serta kecenderungan terhadap silang jantina. Perubahan emosi juga semakin ketara umpamanya lebih peka terhadap rangsangan seks membabitkan imaginasi dan fantasi.

“Perubahan ini bukanlah perkara pelik kerana selalunya ibu bapa menjadi pembimbing anak remaja mereka, tetapi tidak dinafikan ada segelintir cenderung mendapat maklumat daripada rakan sebaya, laman web atau sumber yang belum pasti kesahihannya,” katanya pada seminar berkenaan.

Beliau berkata, memahami perubahan dan diri sendiri adalah perlu kerana ia membolehkan remaja menghargai diri sendiri.

“Setiap manusia melalui proses sama daripada kecil hingga ke alam dewasa dan perasaan itu adalah naluri semula jadi yang tidak boleh disekat, ia bukanlah sesuatu yang jengkel.

“Setiap manusia melalui perubahan baik dari segi fizikal, emosi, fisiologi dan seksual. Sewaktu proses peralihan ini ia membawa sama pelbagai masalah baru. Ketika inilah remaja perlu dibimbing diyakini dan dicurahkan kasih sayang supaya dapat memahami dan menerima perubahan itu secara semula jadi menuju alam dewasa,” katanya.

Dr Harlina berkata, perubahan kendiri yang selalu berlaku ketika itu termasuklah rasa cemas dengan perubahan, bingung selain selalu bertanya soalan seperti “adakah saya normal?”; “adakah saya normal berbanding rakan yang lain,?”.

“Tidak dinafikan segelintir ibu bapa membiarkan anak membesar sendiri sedangkan mereka perlu bersikap lebih terbuka. Cabaran mendidik anak hari ini berbeza, dengan pelbagai pengaruh luar termasuk media cetak dan media elektronik menyebabkan ibu bapa memerlukan perubahan bila membincangkan hal ini,” katanya.

Beliau menasihati ibu bapa supaya berterus terang dan memberi penjelasan tanpa berselindung apabila anak mula bertanya hal seksual kepada mereka.

“Jangan pisahkan ia daripada agama seperti kenapa berzina diharamkan dan hikmah larangan itu,” katanya.

Dr Harlina berkata, mendidik anak lelaki dan perempuan sama perlunya kerana melakukan jenayah seksual seperti rogol adalah lelaki justeru mereka patut diajar menghormati wanita.

“Jangan kata lelaki tidak apa kerana mereka yang banyak merogol. Fahami perubahan anak, ketahui peribadi, perangai serta perasaan mereka. Pada masa sama, komunikasi senjata paling penting sebab perlakuan sumbang yang berlaku sekarang salah satu puncanya tiada komunikasi.

“Ada ibu bapa langsung tidak memberi ruang atau perhatian kepada anak meluahkan isi hati atau berbincang. Jika anak ini beralih kepada rakan atau orang lain, yang mahu mendengar masalah apa akan jadi sekiranya ia terarah kepada yang tidak baik,” katanya.

Pakar sakit puan, Dr Norzilawati Naim berkata, pendidikan seksualiti perlu dilakukan daripada awal. Ia diteraskan kepada kesihatan, fungsi badan atau alat seksual badan.

Beliau berkata, penjelasan seharusnya secara objektif dan saintifik tetapi mudah supaya mereka senang faham seperti menunjukkan gambar rajah organ manusia dan jelaskan fungsi tubuh badan supaya ia digunakan serta dijaga dengan baik.

“Daripada ovari, uterus , alat kelamin dan sebagainya, jelaskan apakah fungsi setiap satunya? Penjelasan mengenai datang bulan atau baligh tidak perlu mendalam seperti doktor sebaliknya sekadar menerangkan ia petanda sudah baligh dan sudah bersedia mengandung justeru perlu berhati-hati.

“Kanak-kanak akan mula bertanya, dan ibu bapa perlu menerangkan menerusi pendekatan sesuai. Pendidikan seksualiti juga mengajar anak bertegas memberitahu orang lain bahawa mereka tidak mahu disentuh atau dipegang,” katanya.

Beliau berkata, jika ibu bapa gagal mendedahkan pengetahuan seksual kepada anak, mungkin mereka mempelajarinya daripada sumber lain seperti rakan dan media yang boleh memberikan gambaran salah faham dan mengelirukan.

Mengulas mengenai pengguguran, Dr Norzilawati berkata, keguguran adalah keadaan di luar kawalan.

“Kandungan tidak berkembang sementara pengguguran adalah satu prosedur atau kaedah menamatkan riwayat kandungan yang sedang berkembang.

“Pengguguran selamat dilakukan pengamal perubatan terlatih menggunakan kaedah saintifik dalam persekitaran yang terjamin bersih,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengguguran tidak selamat apabila dilakukan oleh bukan pengamal perubatan terlatih atau menggunakan kaedah yang tidak saintifik dalam persekitaran yang tidak terjamin kebersihannya.

“Dalam hal ini komplikasi atau masalah yang boleh timbul termasuklah kematian, kehilangan darah, jangkitan kuman dan kecederaan pada organ pembiakan. Kebanyakan disebabkan kehamilan yang tidak dikehendaki,” katanya.

Ditanya adakah benar pengguguran satu kaedah merancang, beliau menjawab, “Sudah tidak kerana kaedah ini dianggap berisiko tinggi dan bukan satu kaedah merancang keluarga kerana ada nyawa yang diragut,”.

FAKTA: Hubungan seksual

Anda belum bersedia dengan hubungan seksual sekiranya:

  • Anda menyangka seks itu sama dengan cinta.

  • Anda berasa terpaksa

  • Anda takut berkata TIDAK

  • Anda menyangka semua orang melakukannya

  • Naluri anda menghalang hubungan berkenaan

  • Anda tidak tahu fakta mengenai kehamilan

  • Anda tidak terfikir seorang wanita boleh hamil daripada hubungan seksual yang pertama

  • Perkara itu bertentangan dengan nilai agama dan moral yang menjadi pegangan anda

  • Anda belum boleh berdikari dan menyara diri sendiri

  • Anda fikir hubungan itu akan menyebabkan anda menyintai pasangan dan juga sebaliknya

  • Anda dalam keadaan mabuk atau khayal

  • Anda menyangka orang muda tidak akan dijangkiti HIV/Aids

  • Anda bimbang ibu bapa mengetahuinya

  • Anda amat menghargai dara anda

    Kehamilan Remaja:

  • Risiko kematian bagi ibu berusia kurang 15 tahun adalah dua setengah kali ganda lebih tinggi dari ibu berusia 20 hingga 24 tahun.

  • Bayi kepada bayi berusia di bawah 15 tahun adalah dua kali ganda lebih mungkin lahir dengan berat kurang 2.5 kilogram.

  • Bayi kepada bayi berusia di bawah 15 tahun adalah tiga kali ganda lebih tinggi menghadapi risiko kematian dalam 28 hari pertama selepas kelahiran.

  • Kebanyakan ibu muda tidak mendapat jagaan antenatal yang baik dan pemakanan yang seimbang.

  • Kebanyakan ibu muda juga keciciran peluang untuk belajar dan mendapat pekerjaan yang baik.
  •  





    MENU UTAMA

    REHAL POLL
    Apakah kreteria paling penting TASKA pilihan anda ?
     
    Visitor
    361071
    Today235
    Yesterday488