Home

Persekitaran pengaruhi kanak-kanak membul

Bimbingan berkesan elak si kecil berpendapat tingkah laku negatif adalah perkara lazim

SEORANG teman sepejabat mengadu anak lelakinya yang baru masuk tahun satu dibuli rakan sebaya. Anaknya itu boleh dikategorikan ‘berani dan sering membuli adiknya di rumah’, tetapi tewas juga di tangan pembuli rakan sebayanya itu.

Walaupun tidak membabitkan kekerasan seperti memukul, anak seawal usia tujuh tahun itu tanpa rasa bersalah meminta wang belanja daripada anak rakan tadi, sungguh pun sudah dibekalkan wang saku oleh ibu bapanya.

Senario ini mengingatkan penulis ketika di sekolah rendah dulu (kira-kira 20 tahun lalu), yang mana rakan perempuan saya diugut memberikan wang saku oleh seorang budak lelaki. Bapa rakan saya itu bertindak mengadu kepada pihak sekolah dan kanak-kanak lelaki itu insaf selepas melalui sesi kaunseling.

Timbul persoalan kenapakah perkara ini terjadi? Kenapa seseorang kanak-kanak kecil sudah wujud perasaan membuli walaupun baru berusia setahun jagung dan adakah tabiat itu berpanjangan atau hanya sementara waktu? Melihat kepada dua situasi di atas, ia tidak jauh berbeza walaupun membabitkan perbezaan tempoh 20 tahun!

Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Madya Dr Mastura Badzis, berkata dari perspektif psikologi tingkah laku memeras ugut rakan, adalah antara contoh buli yang berlaku di kalangan kanak-kanak.

Perlakuan itu adalah bentuk tingkah laku antisosial dan bila berlaku di kalangan kanak-kanak berusia tujuh atau lapan tahun berkemungkinan ia berpunca daripada tingkah laku agresif yang tidak dibendung dan ditangani dengan baik ketika kanak-kanak itu berada di peringkat pra sekolah lagi.

“Buli adalah satu bentuk 'conduct disorder' yang dikaitkan dengan masalah tingkah laku dan gangguan emosi. Buli boleh didefinisikan sebagai suatu tingkah laku negatif dan berterusan yang dilakukan dengan niat sengaja untuk mengganggu mangsa, manakala mangsa selalunya dalam keadaan terganggu dan tertekan.

“Buli biasanya membabitkan tiga pihak, kanak-kanak atau kumpulan kanak-kanak yang membuli, kanak-kanak atau kumpulan kanak-kanak yang menjadi mangsa buli dan kanak-kanak lain yang kadangkala menyaksikan 'proses' buli itu berlaku.

“Tingkah laku negatif ini selalunya ditonjolkan dalam bentuk fizikal seperti memukul, menendang dan sebagainya; atau dalam bentuk verbal (kata-kata) seperti memeras ugut, mengejek, mengutuk dan menjatuhkan maruah sehingga menyebabkan mangsa buli hilang rasa harga diri,” katanya.

Beliau berkata, buli juga boleh berlaku dalam bentuk manipulasi sosial seperti mempengaruhi kawan lain supaya seseorang kanak-kanak itu merasakan dirinya dipinggirkan atau tidak diterima dalam sesuatu kelompok rakan sebaya.

Keadaan itu berkemungkinan berlaku khasnya jika di rumah kanak-kanak menjadi mangsa keganasan dan mereka terpaksa berkelakuan baik serta memendam apa yang terbuku di dada kerana takut pada keadaan. Sebaliknya bila di sekolah mereka mungkin akan melepaskan geram tersebut dengan 'mengganas' dan mencari mangsa untuk melepaskan dendam mereka.

“Kanak-kanak seperti itu lazimnya dididik agar takutkan sesuatu bayangan atau seseorang sedangkan jiwa mereka memberontak dan bila orang yang ditakuti tiada, mereka seperti 'bebas' melakukan apa saja untuk mencapai kepuasan diri bagi menggantikan apa yang tidak dapat mereka kecapi di rumah,” katanya.

Beliau berkata, kelakuan kanak-kanak berkenaan sama ada berpanjangan atau sebaliknya banyak bergantung kepada sejauh mana gejala ini dapat dibendung dan sejauh mana usaha dilakukan untuk ‘menyelamatkan’ dan membimbing kanak-kanak yang terbabit dengan kes membuli itu.

Malangnya, ada ibu bapa dan guru yang bersikap acuh tak acuh dan tidak ambil peduli bila berlaku konflik antara dua kanak-kanak, mungkin kerana mereka tidak mahu campur tangan atau mahu menggalakkan kanak-kanak belajar sendiri bagaimana menangani sesuatu konflik yang tercetus sesama mereka.

“Peluang menyelesaikan masalah sendiri sememangnya perlu diberikan kepada kanak-kanak, tetapi gerak geri dan tingkah laku mereka perlu dibimbing dan dipantau apatah lagi bila tingkah laku yang dilakukan membabitkan keganasan dan boleh mengganggu keselamatan fizikal dan ketenangan orang lain.

“Menurut National Association of Early Young Children (NAEYC) antara cara atau langkah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah dan ibu bapa bagi mengatasi gejala ini ialah dengan mendidik dan membimbing mereka khasnya yang dibuli cara untuk menyatakan pendirian atau ketegasan terhadap sesuatu perkara (assertiveness skills).

“Guru atau ibu bapa perlu menunjukkan kepada kanak-kanak cara bagaimana untuk menyatakan ‘tidak’ kepada permintaan yang tidak munasabah daripada kanak-kanak lain. Ini boleh dilakukan dengan menyuruh kanak-kanak memainkan peranan menggunakan puppet atau anak patung.

“Perhatikan bagaimana mereka melakonkannya dan bimbing mereka atau tegur sekiranya dilihat cara mereka menunjukkan ketegasan silap. Bagi cadangan bagaimana kanak-kanak boleh berkompromi dan menyampaikan hasrat mereka dengan cara yang produktif,” katanya.

Selain itu, kanak-kanak sebegitu perlu dilatih supaya mendapatkan bantuan sekiranya kekerasan atau penderaan dikenakan ke atas mereka sama ada oleh orang dewasa atau kanak-kanak lain. Ingatkan kanak-kanak supaya tidak ambil peduli sekiranya mereka diejek dan nyatakan kepada mereka tidak semua tingkah laku provokatif perlu dilayan.

Dr Mastura berkata, kanak-kanak juga harus diajar meminta sesuatu dengan cara berterus terang dan bertindak balas positif antara satu dengan yang lain, seperti cadangan yang berbentuk mesra selalunya akan diterima dengan baik berbanding permintaan yang berbentuk ‘suka mengarah’.

“Didik kanak-kanak supaya tahu cara meminta sesuatu dengan cara yang baik dan memberi maklum balas terhadap permintaan yang diajukan dengan baik. Sekiranya memang terjadi konflik antara dua orang kanak-kanak, panggil kedua-duanya supaya menunjukkan bagaimana terjadi.

“Tunjukkan kepada kedua-dua mereka bagaimana menyelesaikan masalah dengan tepat, adil dan bijaksana. Beri contoh bentuk keganasan atau sikap suka mengarah dan diskriminasi yang biasa ditonjolkan oleh kanak-kanak, nyatakan yang sikap-sikap sebegini tidak boleh diterima,” katanya.

Dalam menangani isu berkenaan tidak boleh tidak rawatan atau tindakan perlu membabitkan ibu bapa, kanak-kanak yang terbabit, pihak sekolah dan ada kalanya memerlukan sokongan masyarakat. Punca kepada berlakunya buli perlu juga perlu dikenal pasti.

Program pencelahan yang sekiranya dilakukan perlu mengenalpasti kanak-kanak yang berpotensi tinggi untuk melakukan buli. Ini kerana biasanya mereka adalah kanak-kanak yang lemah dari segi pencapaian akademik, berkelakuan agresif sejak peringkat prasekolah lagi, mangsa penderaan atau keganasan serta yang ketandusan hubungan kasih sayang ibu bapa dan kekeluargaan.

“Pakar psikologi mencadangkan rawatan yang dilakukan perlu melalui tiga cara. Pertama dengan membabitkan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan. Dalam erti kata lain mereka perlu menilai semula cara bagaimana mereka membesar dan mendidik anak.

“Model yang baik perlu ditunjukkan pada kanak-kanak. Kekerasan dan mendidik mengikut emosi perlu diperbaiki kerana ini akan membentuk pembawaan yang sihat bagi seseorang kanak-kanak. Selain daripada itu, aktiviti kanak-kanak perlu diselia dan ibu bapa perlu mengetahui di mana anak mereka atau dengan siapa mereka berkawan. Pada waktu yang sama, program tv yang ditonton oleh kanak-kanak perlu dikawal selia,” katanya.

Langkah kedua pula, adalah susulan apabila ibu bapa sudah mula memainkan peranannya kanak-kanak perlu didedahkan dengan kemahiran 'self-regulation' atau keupayaan mengawal diri daripada menunjukkan tingkah laku mengganggu dan akhirnya akan menjurus kepada kemahiran intelektual, berfikir dengan lebih waras dan matang.

Beliau berkata, pihak sekolah juga perlu memainkan peranan agar kekerasan atau hukuman berbentuk pukulan tidak dikenakan ke atas mereka. Kemarahan, rasa tidak puas hati dan dendam yang membara akan hanya menjadikan seseorang kanak-kanak lebih terarah melakukan keganasan.

FAKTA
Faktor kanak-kanak membuli:


Faktor individu

Kajian mendapati kanak-kanak yang membuli selalunya adalah mangsa kepada keganasan dan penderaan. Mereka 'menyerang' sebagai persediaan atas dasar kebimbangan yang mereka akan 'diserang'. Apabila kanak-kanak mendapati orang yang bertindak ganas dan membuli mudah mendapat apa yang ia kehendaki, mereka akan mudah terpengaruh dan meniru tingkah laku membuli itu.

Jika si pembuli bukan mangsa penderaan, faktor utama yang menyebabkan mereka membuli besar kemungkinannya kerana kanak-kanak ini tidak boleh atau tidak tahu bagaimana hendak berkawan atau berkomunikasi dengan baik. Ini akan berlaku bila seseorang kanak-kanak itu tidak pernah diberi peluang untuk melepaskan perasaan atau menyatakan sesuatu yang ia perlukan.

Kanak-kanak yang mendapat peluang mencurah perasaan dan menyatakan kehendaknya dalam keadaan tidak ditekan atau dipaksa tidak akan mudah menjadi agresif. Orang dewasa perlu memberi ruang kepada mereka mendapat hak ini.

Semakin kanak-kanak diberi kepercayaan dan menghargai perasaan sendiri semakin kuranglah potensinya untuk menekan atau mengugut kawan-kawannya. Beliau akan lebih menghormati dan menghargai perhatian dan sikap memahami yang ditunjukkan oleh orang dewasa.


Pengaruh Keluarga/Ibubapa

Kanak-kanak membuli mungkin kerana meniru tingkah laku agresif yang diperlakukan terhadap dirinya di rumah atau menyaksikan tindakan agresif yang diperlakukan ke atas ahli keluarganya. Contohnya ayah mendera ibu, atau adik-beradik lain didera di hadapannya.

Hidup dalam keluarga yang dipenuhi dengan keganasan rumah tangga akan mengajar kanak-kanak bahawa kekerasan dan keganasan adalah satu cara yang efektif dan sesuai untuk mencapai atau mendapat sesuatu yang dihajati apatah lagi jika mereka tidak mendapat bimbingan atau pembelaan daripada sesiapa.


Pengaruh rakan sebaya

Faktor utama mengapa kanak-kanak terbabit dengan gejala membuli dan tingkah laku antisosial yang lain. Kehadiran kanak-kanak lain yang menjadi 'penyokong'nya menjadikan dia berasa mempunyai kekuatan kerana meraih populariti dan status.

Akan tetapi rakan sebaya juga boleh menjadi penghalang kepada popularitinya sekiranya mereka menyebelahi mangsa yang dibuli cuma selalunya mereka ini akan senyap dan tidak berani membuat tindakan apa-apa kerana takut dengan ugutan dan sebagainya.


Faktor sekolah

Tidak dapat dinafikan sekolah juga turut menjadi faktor yang mendorong kanak-kanak membuli. Amalan dan polisi sesebuah sekolah secara tidak langsung akan mempengaruhi cara pelajar berinteraksi, aktiviti yang dilakukan dan tingkah laku mereka.

Buli dan tindakan agresif kanak-kanak dikatakan mempunyai kaitan dengan sekolah yang gurunya acap kali bertukar-tukar, pentadbiran yang lemah, kaedah mendisiplinkan pelajar selalu tidak konsisten, garis panduan mengenai sesuatu perlakuan yang dianggap salah tidak begitu jelas dan pemantauan yang tidak dilakukan dengan sempurna.


Media: Sememangnya filem atau aksi ganas yang dipaparkan di layar televisyen, cakera padat video (vcd), cakera video digital (dvd) dan sebagainya adalah antara faktor yang mendorong kanak-kanak melakukan aksi ganas seperti membuli.

Kanak-kanak selalunya akan meniru dan cuba untuk merealisasikan apa yang dilihat di kaca televisyen di dalam kehidupan mereka seharian dan bila mereka sudah mula seronok melakukannya, mereka akan melihat keganasan sebagai satu sikap yang positif. Kesannya akan lebih ketara terhadap kanak-kanak yang menghadapi masalah emosi, bermasalah pembelajaran, mengalami gangguan tingkah laku dan sukar untuk mengawal diri.

Kajian daripada Laporan American Medical Association (AMA) Council on Scientific Affairs (CSA).

 





MENU UTAMA

REHAL POLL
Apakah kreteria paling penting TASKA pilihan anda ?
 
Visitor
389744
Today168
Yesterday486