Home

Langkah bersepadu tangani gejala sosial

PELBAGAI laporan negatif membabitkan remaja sejak kebelakangan ini cukup membimbangkan. Hamil luar nikah, buang anak, ketagihan dadah dan lumba haram antara gejala sosial yang hangat diperkatakan, lebih-lebih lagi jika membabitkan mereka yang masih terlalu hijau dalam mengenal erti kehidupan.

Memahami masalah yang semakin meruncing itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Kementerian Pelajaran merangka serta menyelaras Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (GPPKRSK) dengan peruntukan RM20 juta yang diharap dapat menangani masalah terbabit.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun, berkata sebagai permulaan pihaknya kini sedang menjalankan pelbagai program antaranya perkhemahan untuk kanak-kanak dan remaja dengan membabitkan ibu bapa bagi meningkatkan aspek komunikasi bersama rakan sebaya serta keluarga.

Beliau berkata, pendekatan itu diharap dapat membawa remaja ke landasan asas supaya mereka berupaya membawa jati diri yang lebih mantap.

“Peruntukan disediakan diharap dapat memastikan program peringkat awal pendidikan ini dijalankan dengan lebih berkesan dan lebih menyeluruh. Penekanan pendidikan ini penting bagi menyedarkan masyarakat terutama kanak-kanak dan remaja didedahkan dengan maklumat tepat supaya tidak terjebak dalam masalah sosial terutama membabitkan jenayah sosial.

“Kita mahu menggalakkan golongan ini bertanya kepada orang yang tepat dan bukannya mencari maklumat daripada sumber yang tidak boleh dipercayai seperti internet sehingga memungkinkan mereka mendapat jawapan yang salah,” katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan garis panduan itu, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran, Komala Devi.

GPPKRSK dirangka oleh Kumpulan Kerja Teknikal yang dipengerusikan Kementerian Pelajaran dan dianggotai pelbagai pihak seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pakar dalam bidang perubatan, psikologi, pendidikan, perundangan, keagamaan, kekeluargaan, kebajikan dan kemasyarakatan.

Garis panduan itu adalah hasil perbincangan menyeluruh daripada cadangan melaksanakan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial berasaskan garis panduan yang digubal dan dipersetujui kerajaan pada 20 Disember 2006.

Usul untuk mewujudkan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial ini tercetus apabila melihat peningkatan gejala salah laku seksual seperti sumbang mahram, perhubungan seks luar nikah, rogol, penderaan seksual, pengguguran dan pembuangan bayi serta penularan HIV/Aids di kalangan remaja hari ini.

Malah, akhbar sebelum ini melaporkan pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai peningkatan remaja dan pelajar berusia tujuh hingga 18 tahun dalam kes jenayah. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, jenayah membabitkan remaja semakin meningkat iaitu 6,838 pada 2006, berbanding 5,543 pada 2005, menyamai rekod jenayah yang dilakukan warga asing.

Ada antara mereka mula terbabit dalam kes jenayah berat seperti membunuh, sekali gus membuktikan golongan terbabit perlu diberi perhatian khusus supaya perilaku itu dapat dibendung.

Bagi mengekang masalah ini daripada berlarutan, KPWKM dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pelaksanaan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada kumpulan sasar seperti kanak-kanak, ibu bapa dan masyarakat awam, manakala Kementerian Pelajaran pula akan melaksanakannya pada peringkat sekolah, matrikulasi dan institut perguruan.

Secara tidak langsung, garis panduan itu diharap membantu ke arah pertumbuhan dan pembinaan individu yang sihat sejahtera terutama remaja, memupuk sikap dan nilai kesihatan reproduktif serta sosial manusia sebagai sebahagian daripada kewujudan manusia yang normal dan positif.

Chew berkata, pendidikan itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat terutama remaja untuk bersoal jawab, meneroka dan menilai sikap seksual supaya memahami nilai kekeluargaan, membentuk nilai kendiri serta memahami tanggungjawab terhadap keluarga.

“Kami sedih ramai kanak-kanak tidak tahu apa itu cabul dan apabila mereka berdepan dengan keadaan itu, mereka tidak tahu bagaimana hendak meluahkan apa yang terbuku dalam diri. Ini akan menyebabkan mereka ini terdedah kepada perbuatan salah laku musnah kerana tidak tahu hendak mengawal kemarahan.

“Oleh itu, kami menyediakan pendekatan mengawal kemarahan supaya mereka ini tidak mudah terpengaruh kepada persekitaran negatif,” katanya.

Selain itu, garis panduan itu dapat menyediakan maklumat tepat kepada persoalan dan kemusykilan yang ditimbulkan oleh masyarakat yang disasarkan serta menggalakkan pembabitan ibu bapa, guru dan masyarakat dalam pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.

Bagaimanapun, Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial itu tidak akan dijalankan sebagai mata pelajaran teras pada peringkat sekolah. Elemen pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial akan diajar merentas kurikulum dalam pelbagai mata pelajaran seperti Pendidikan Kesihatan, Biologi, Sains, Moral dan Pendidikan Islam.

Kerangka pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial pula merangkumi enam tunjang utama. Setiap tunjang bertujuan melengkapkan kumpulan sasar dengan pengetahuan dan kemahiran tertentu mengikut keperluan serta kesesuaian umur.

Pelaksanaan pendidikan berkenaan bukan hanya dipertanggungjawab kepada dua kementerian terbabit, tetapi juga Kementerian Kesihatan, Kementerian Penerangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Kewangan serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jakim serta badan bukan kerajaan.

 

 

 





MENU UTAMA

REHAL POLL
Apakah kreteria paling penting TASKA pilihan anda ?
 
Visitor
393931
Today159
Yesterday435